Thursday, June 28, 2012

KEMPEN ANTI-PEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTI-PENYELUDUPAN MIGRAN

MAJLIS PELANCARAN KEMPEN ANTI-PEMERDAGANGAN ORANG
DAN ANTI-PENYELUDUPAN MIGRAN

Majlis Pelancaran kempen Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Peringkat Negeri Pahang yang dilaksanakan pada 28 Jun 2012 (Khamis) di Dewan Konvensyen Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia isteri YAB Perdana Menteri.

Inisiatif kempen digerakkan oleh NCWO (Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Negeri  Pahang dan semua agensi / jabatan yang berkaitan.

Dua ceramah perihal Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran telah disampaikan; pertama oleh YBhg Dato’ Faridah bt Khalid (Timbalan Yang DiPertua NCWO) dan keduanya oleh Pn Suhada bt  Ab Wahab (  Setiausaha Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran – daripada Kementerian Dalam Negeri).

Kedua-dua orang penceramah telah berjaya mencapai matlamat majlis pelancaran tersebut untuk menyuntik kesedaran dan kefahaman  terutama dalam menarik sokongan dan kerjasama demi  usaha banteras kegiatan haram yang amat berbahaya dan tidak berperi kemanusiaan.

Kejayaan kempen tersebut hanya  benar-benar tercapai jika semua saranan yang digariskan terlaksana dan bukan terbeban kepada agensi / jabatan berkaitan sahaja. Istilah  “Menjaga Tepi Kain Orang” wajar diamalkan demi kejayaan kempen tersebut.

Kehadiran para peserta melebihi seribu orang meliputi sasaran anggota masyarakat termasuk berbagai NGO, agensi / jabatan kerajaan dan pelajar IPT. Diharapkan mereka yang hadir akan menyebarkan dan berkongsi maklumat berkaitan dengan anggota masyarakat lain yang tidak berkesempatan hadir .

Persatuan Sejahtera Kuantan (PSK) mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penganjur yang telah menjemput PSK  selaku NGO berdaftar untuk ikut serta.

SILA HUBUNGI NOMBOR TELEFON 999 ATAU TALIAN NUR 15999 ATAU MANA-MANA BALAI POLIS BERDEKATAN jika ada maklumat berkaitan.

Catatan oleh: Bendahari PSK
28 Jun 2012

No comments: