Thursday, June 28, 2012

KEMPEN ANTI-PEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTI-PENYELUDUPAN MIGRAN

MAJLIS PELANCARAN KEMPEN ANTI-PEMERDAGANGAN ORANG
DAN ANTI-PENYELUDUPAN MIGRAN

Majlis Pelancaran kempen Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Peringkat Negeri Pahang yang dilaksanakan pada 28 Jun 2012 (Khamis) di Dewan Konvensyen Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia isteri YAB Perdana Menteri.

Inisiatif kempen digerakkan oleh NCWO (Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Negeri  Pahang dan semua agensi / jabatan yang berkaitan.

Dua ceramah perihal Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran telah disampaikan; pertama oleh YBhg Dato’ Faridah bt Khalid (Timbalan Yang DiPertua NCWO) dan keduanya oleh Pn Suhada bt  Ab Wahab (  Setiausaha Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran – daripada Kementerian Dalam Negeri).

Kedua-dua orang penceramah telah berjaya mencapai matlamat majlis pelancaran tersebut untuk menyuntik kesedaran dan kefahaman  terutama dalam menarik sokongan dan kerjasama demi  usaha banteras kegiatan haram yang amat berbahaya dan tidak berperi kemanusiaan.

Kejayaan kempen tersebut hanya  benar-benar tercapai jika semua saranan yang digariskan terlaksana dan bukan terbeban kepada agensi / jabatan berkaitan sahaja. Istilah  “Menjaga Tepi Kain Orang” wajar diamalkan demi kejayaan kempen tersebut.

Kehadiran para peserta melebihi seribu orang meliputi sasaran anggota masyarakat termasuk berbagai NGO, agensi / jabatan kerajaan dan pelajar IPT. Diharapkan mereka yang hadir akan menyebarkan dan berkongsi maklumat berkaitan dengan anggota masyarakat lain yang tidak berkesempatan hadir .

Persatuan Sejahtera Kuantan (PSK) mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penganjur yang telah menjemput PSK  selaku NGO berdaftar untuk ikut serta.

SILA HUBUNGI NOMBOR TELEFON 999 ATAU TALIAN NUR 15999 ATAU MANA-MANA BALAI POLIS BERDEKATAN jika ada maklumat berkaitan.

Catatan oleh: Bendahari PSK
28 Jun 2012

MAJLIS DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012

DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012

Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012  bagi peringkat Negeri Pahang telah dilaksanakan pada 23 Jun 2012 (Sabtu) mulai jam 9.30 pagi bertempat  di Vistana Hotel, Kuantan Pahang seperti yang dijualkan.

Pengarah Pelajaran Pahang hadir bersama warga pendidik  dan bukan warga pendidik mewakili daerah-daerah termasuk PIBG dan NGO sehingga Majlis dialog selesai kira-kira jam 1.00 petang.

Panel DNPN (Dialog Nasional Pendidikan Negara) 2012 diwakili oleh DUA orang ahli iaitu Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian. Kedua-duanya bertindak selaku pemudahcara mempengerusikan majlis.

“DNPN 2012 merupakan wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Secara khusus objektif DNPN 2012 adalah untuk:
·         Memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan; dan
·         Membina kesedaran bersama akan perancangan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi Sistem Pendidikan Negara.

Sembilan Bidang Keutamaan Untuk Perbincangan
·         Prioriti # 1 : Guru
·         Prioriti # 2 : Kepimpinan Sekolah
·         Prioriti # 3 : Kualiti Sekolah
·         Prioriti # 4 : Kurikulum dan Pentaksiran
·         Prioriti # 5 : Profisiensi Pelbagai Bahasa
·         Prioriti # 6 : Peluang Lepasan Menengah
·         Prioriti # 7 : Ibu bapa, Komuniti dan Sektor Swasta
·         Prioriti # 8 : Kecekapan dan Keberkesanan Sumber Kementerian
·         Prioriti # 9 : Kapasiti dan Keupayaan Sistem Penyampaian Kementerian”
(Sumber:Edaran –Kajian Semula Pendidikan DNPN 2012)

Hampir empat puluh orang mewakili badan yang diwakili dan diri individu sendiri berpeluang menzahirkan pandangan secara bebas. Prof. Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin memaklumkan semua pandangan / cadangan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Panel DNPN 2012 untuk pebincangan / penelitian.


Adalah diharapkan Panel DNPN 2012 akan mengunapakai Dasar Pendidikan Negara kita dalam menapis dan menilai segala pandangan / cadangan yang telah disampaikan.

Terima Kasih kepada  Pengarah Pelajaran Pahang atas jemputan untuk PSK turut sama menghantar wakil ke majlis DNPN 2012 yang amat bermakna tersebut.

Jika ada program / aktiviti pada masa akan datang anjuran Jabatan Pelajaran maupun Pejabat Pelajaran Daerah, PSK tidak keberatan untuk ikut sama mengikut kemampuan selaku NGO berdaftar seperti harapan dalam Prioriti # 7 (Sembilan Bidang Keutamaan Untuk Perbincangan)

Catan oleh: Bendahari PSK
23 JUN 2012