Saturday, June 21, 2008

SEJARAH PEMBENTUKAN PSK

SEJARAH PERSATUAN SEJAHTERA KUANTAN (PSK)


Pada 04 Ogos 2002, satu sejarah baru telah tercipta iaitu, Persatuan Sejahtera Kuantan (PSK) telah ditubuhkan. Ia telah dilancarkan oleh Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato’ Haji Hashim bin Abdul Wahab. Beliau amat menyokong inisiatif ini yang diadakan bagi memulihkan dan menambahkan lagi kualiti hidup warga Kuantan.

Beliau turut menyatakan bahawa MPK dan persatuan ini mempunyai objektif yang sama iaitu pembangunan bandar Kuantan dari aspek fizikal dan juga sosial tanpa memberi kesan negatif kepada alam semulajadi.

Menurutnya lagi persatuan ini juga merupakan media perhubungan antara orang ramai dengan MPK. Orang ramai boleh menyuarakan idea-idea, komen-komen mereka kepada MPK melalui persatuan ini.


APA ITU PSK


Persatuan Sejahtera Kuantan (PSK) adalah satu persatuan bagi mendorong menggerakkan inisiatif warga tempatan untuk membangunkan Kuantan serta menjamin kesejahteraan hidup penduduk Kuantan.


ASAS PERJUANGAN PSK

Untuk mencapai pembangunan mapan dan kesinambungan yang akan menjamin pertumbuhan ekonomi tempatan, perlindungan alam sekitar serta kesejahteraan hidup penduduk Kuantan.


MOTTO PSK

“Usaha masyarakat tempatan ke arah pembangunan kesejahteraan hidup bersama”


MATLAMAT PSK

Tujuan utama PSK adalah untuk mengetengahkan peranan masyarakat dalam pentadbiran setempat melalui proses kerjasama dengan kerajaan tempatan dan agensi-agensi kerajaan.

Pembangunan mapan adalah pembangunan yang memenuhi keperluan dan kehendak generasi masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.

Enam aspek utama pembangunan mapan adalah;

=> Keadilan sosial
=> keseimbangan ekologi
=> keberkesanan ekonomi
=> penyertaan bebas dari segi politik
=> amalan budaya majmuk
=> kepuasan dari segi keagamaan

HUBUNGAN ANTARA PSK – SKI – SUSDEN

SKI adalah projek perintis Sustainable Development Network (SUSDEN) Malaysia yang menggerakkan warga tempatan dalam hal pengurusan pembangunan daerah (perbandaran) mereka. Selepas tiga tahun SKI diprogramkan, satu persatuan telah ditubuhkan dengan nama Persatuan Sejahtera Kuantan (PSK). Jawatankuasa Penaja SKI telah mengemukakan permohonan pendaftaran PSK kepada Pendaftar Pertubuhan dan hasilnya pada 27 Jun 2003, PSK berjaya didaftarkan. Maka segala Projek SKI telah diambilalih dari SUSDEN kepada PSK. Bermula dari tarikh selepas Mesyuarat Agong PSK Pertama maka program SKI telah diambil alih sepenuhnya oleh PSK dan menjadi program utama PSK.

SEJARAH SEJAHTERA KUANTAN INISIATIF (SKI)

Sejahtera Kuantan Inisiatif (SKI) adalah satu satu projek perintis yang pertama di Malaysia telah diusahakan oleh Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia atau Sustainable Development Network (SUSDEN) Malaysia. Ini adalah satu sumbangan masyarakat sivil terhadap usaha kerajaan untuk membangunkan kesejahteraan hidup rakyat. SKI disokong dan dibantu oleh Majlis Perbandaran Kuantan dan Kerajaan Negeri Pahang sendiri.

Agenda 21 adalah satu agenda yang digubal dan diterima oleh PBB bagi mengukuhkan pembangunan mapan pada abad ke-21 ini. Bab 27 pula menekankan peranan Badan Swadaya Masyarakat (NGOs) menggembeling tenaga rakyat dalam pembangunan mapan.

Fokus projek SKI adalah bagi melaksanakan Bab 27 Agenda 21 iaitu “Memperkukuhkan peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan: Perkongsian untuk pembangunan mapan”. Projek ini adalah ilham En. Bishan Singh selepas tamat kerjanya dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

SKI adalah satu proses usahasama bersepadu dalam menghadapi cabaran, kehendak dan aspirasi masyarakat dan komuniti setempat. SKI digerakkan sepenuhnya oleh rakyat tempatan melalui satu Jawatankuasa Bertindak.

Projek Perintis SKI telah berjaya dilancarkan pada 05 Ogos 2000 oleh Y.B. Dato’ Kan Tong Leong, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar & Perbandaran Negeri Pahang. Seramai 70 orang yang mewakili pelbagai sektor dan peringkat masyarakat di Kuantan telah menyertai pelancaran ini.

Tujuan SKI adalah untuk mempertengahkan peranan masyarakat dalam pentadbiran setempat melalui proses kerjasama dengan kerajaan tempatan dan agensi-agensi kerajaan supaya mencapai pembangunan mapan dan kesinambungan yang akan menjamin pertumbuhan ekonomi tempatan, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan hidup rakyat jelata di Kuantan.

MOTTO SKI “Usaha masyarakat tempatan ke arah pembangunan kesejahteraan penduduk Perbandaran Kuantan ”

Untuk pengurusan projek SKI, satu jawatankuasa Bertindak telah dilantik. Jawatankuasa ini terdiri daripada pelbagai organisasi dan individu tempatan. Ahli-ahli yang terpilih dalam jawatankuasa berkenaan akan bertugas selama dua tahun (2000 – 2001) kepada inisiatif ini.

No comments: