Monday, November 4, 2013

PENANTIAN 21 TAHUN !

PSK sebagai sebuah NGO berpusat di Kuantan, ibu negeri Pahang Darul Makmur turut bersama-sama terpanggil untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kejayaan Pasukan Bola sepak Pahang Darul Makmur yang menjuarai PIALA MALAYSIA 2013 pada 3 November 2013 (Ahad) bertempat di Stadium Shah Alam, Selangor.

Kemenangan Pahang @ Tok Gajah menewaskan Kelantan @TRW dengan 1 - 0 hasil tandukan pemain impot Argentina, Matias Conti yang menerima hantaran bola dari Azamuddin Akil pada minit ke 59 yang menewaskan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat yang juga penjaga gol kebangsaan.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang turut sama menyaksikan perlawanan final Piala Malysia amat gembira dan terharu atas kemenangan menjuarai Piala Malaysia selepas 21 tahun.

Tahun 1992 pasukan bola sepak Pahang menghadapi situasi sama seperti dalam final menentang Kelantan di mana Kelantan adalah pasukan pilihan untuk menjadi juara. Pahang ketika itu menewaskan Kedah dengan jaringan 1 - 0 juga.

Khairul Azhan Khalid adalah Penjaga gol Pahang yang ditugaskan oleh Dollah Salleh selaku jurulatih pasukan Pahang  telah bermain cemerlang berjaya mengawal pintu gol Pahang daripada dibolosi oleh serangan pemain-pemain Kelantan.

Kejayaan Dollah Salleh selaku jurulatih bola sepak Pahang membentuk sebuah pasukan bola sepak yang bermain sebagai satu pasukan mantap menyukarkan pasukan Kelantan untuk memenangi Final Piala Malaysia 2013.

Amatlah membanggakan bahawa para penyokong Pahang berbaju kuning kira-kira 30,000 orang dan penyokong Kelantan melebihi penyokong Pahang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi yang seharusnya dijadikan teladan.

Mempertahankan kejuaraan tidak semudah memenangi gelaran juara. Itulah yang telah dialami oleh Pasukan Bola Sepak Kelantan.

Menurut sumber dipercayai bawa Piala Malaysia tersebut akan dibawa menjelajah seluruh daerah dalam Pahang sebagai menghargai sokongan padu seluruh rakyat Pahang untuk melihat piala tersebut dari jarak dekat. Harap tidak lepaskan peluang bila piala tersebut bertandang ke daerah masing-masing kelak.

Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang mengumumkan cuti hari isnin  sebelum pun perlawanan bermula.

Nampaknya berbaloi bila 4 November 2013 (Isnin) diisytiharkan cuti peristiwa/umum di negeri Pahang

Diharapkan kejayaan menjulang Piala Malaysia tahun 2013 akan berulang lagi .

catatan:
Sumber berita dari Media Massa termasuk akhbar-akhbar 4.11.2013.

5.11.2013